Demam pilihan raya Sarawak bermula

Barangkali ramai wartawan yang kecewa apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud enggan memberi sebarang ulasan selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin di Astana Negeri di Kuching, pagi Khamis lalu.

Harapan wartawan ialah Abdul Taib akan mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pertemuan itu. Ini menyebabkan mereka bergegas pula ke Wisma Bapa Malaysia di Petrajaya, tidak jauh dari Astana kerana Abdul Taib kemudian mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri di situ.

Akhirnya, tiada apa yang berlaku dan dua menteri Kabinet negeri cuma menyatakan bahawa mesyuarat Kabinet itu sebagai mesyuarat ‘biasa’, di sebalik khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kemungkinan DUN dibubarkan kelmarin sudah tersebar luas di seluruh negara.

Hakikatnya, dalam sejarah hampir 30 tahun sebagai Ketua Menteri, Abdul Taib rasanya tidak pernah lagi membuat pengumuman pembubaran DUN secara ‘impromptu’, iaitu mengumumkannya sebaik melangkah keluar dari Astana atau di pintu keluar bilik mesyuarat Kabinet.

Seorang wartawan veteran yang mengikut perkembangan politik Sarawak berkata, jika ada sebarang pengumuman pembubaran DUN, Abdul Taib biasanya memanggil sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia seperti dilakukannya pada beberapa pilihan raya negeri sebelum ini kecuali pada 1991.

“Pada 1991, Ketua Menteri membuat pengumuman itu pada satu acara di hadapan orang ramai di Kuching,” katanya merujuk kepada pengumuman pembubaran DUN dilakukan ketika Abdul Taib menghadiri satu majlis di Padang Sentral (kini dikenali sebagai Padang Merdeka), Kuching, tanpa memanggil sidang media khas.

“Bayangkan, wartawan sudah bersiap sedia untuk balik kerana ucapan Taib sudah hampir ke penghujung, dengan tiada bayangan diberi mengenai pilihan raya. Tetapi sebelum mengakhiri ucapannya, Taib tiba-tiba mengumumkan bahawa DUN akan dibubarkannya keesokan hari menyebabkan wartawan terpinga-pinga,” katanya.

Apa yang lazim dilakukan Pejabat Ketua Menteri ialah memanggil sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia pada sebelah pagi atau tengah hari untuk majlis pengumuman pembubaran Dewan pada sebelah petang dan kebiasaannya RTM menyiarkan secara langsung.

Bagaimanapun, bayangan yang hampir tepat pada setiap kali pilihan raya negeri diadakan ialah pertemuan Abdul Taib dengan Perdana Menteri, sama ada di Kuala Lumpur (kini di Putrajaya) atau lawatan Perdana Menteri ke Sarawak.

Misalnya, pada pilihan raya negeri 1996, Abdul Taib membubarkan DUN seminggu selepas lawatan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sarawak. Dan, pengumuman itu dibuat sehari selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri. Malah sebelum itu, Abdul Taib memberitahu wartawan bahawa beliau akan membubarkan DUN selepas berbincang dengan Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga pernah membuat pengumuman tarikh penamaan calon dan pengundian pada hari sama Abdul Taib mengumumkan pembubaran DUN, seperti berlaku pada pilihan raya negeri lalu.

Pada 2006 Pengerusi SPR ketika itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman membuat pengumuman tarikh penamaan calon dan pengundian, cuma tiga jam selepas Abdul Taib mengumumkan pembubaran DUN.

Seperti yang berlaku pagi Khamis lalu, wartawan pada 2006 itu juga kecewa apabila ramai berkumpul di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menunggu Abdul Taib selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN), tetapi ia berkesudahan dengan pengumuman pengagihan kerusi DUN di kalangan parti komponen, bukan pembubaran Dewan seperti diramalkan.

Sekarang senario sama hampir berlaku berkisar kepada pergerakan Abdul Taib, pertemuan dengan Yang di- Pertua Negeri, lawatan Perdana Menteri dan SPR. Hari ini dan esok, Najib melawat Sarawak dengan mempunyai acara agak padat, selain kehadiran timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin – kedua-duanya memulakan acara jelajah seluruh negara di Bumi Kenyalang.

Kesempatan lawatan itu juga, memungkinkan Abdul Taib ‘membisik’ kepada Najib mengenai tarikh untuknya membubarkan Dewan. Sabtu depan, 26 Mac pula adalah ulang tahun ke-30 Abdul Taib menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak.

Senario itu hampir sama dengan lawatan Dr Mahathir pada 7 dan 8 Ogos 2006 dan seminggu kemudian, Abdul Taib membubarkan Dewan, sehari selepas menemui Yang di-Pertua Negeri.

Namun, ada yang kata bahawa Abdul Taib akan sekali lagi menemui Yang di-Pertua Negeri, Isnin ini, tetapi ada pemerhati tidak menolak kemungkinan Yang di-Pertua Negeri sudah menandatangani writ pembubaran DUN itu dalam pertemuan mereka di Astana, pagi Khamis lalu.

Jika inilah senario, bermakna DUN bakal dibubarkan pada bila-bila masa minggu depan selepas Najib dan Muhyiddin kembali ke Kuala Lumpur, sekali gus menguatkan lagi spekulasi bahawa pilihan raya negeri ke-10 bakal diadakan bulan depan.

Pilihan raya negeri ke-9 diadakan pada Mei 2006 dan ke-8 pada September, bulan sama seperti pilihan raya negeri ke-7 pada 1996, kedua pada 1974, ketiga (September 1983) dan keenam (27 hingga 28 September 1991).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Jemut Masing yang juga Menteri Kabinet negeri memberitahu bahawa Abdul Taib sudah memberi bayangan kuat meminta semua mereka bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ketika mesyuarat Kabinet, Khamis lalu.

“Beliau (Taib) sudah memberi bayangan itu, meminta kami semua bersedia. Jika anda mahu bertaruh…. pilihlah April sebagai bulan untuk pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan akhbar tempatan.

Apa pun, kunjungan Perdana Menteri yang tiba di Kuching malam tadi menguatkan lagi spekulasi pilihan raya negeri itu. Apakah Abdul Taib akan membuat pengumuman pembubaran itu, hari ini atau pengumuman lain berkaitan peralihan kuasa. Ada yang kata Dewan dibubar Isnin ini?.-B/H

Advertisements

About citchatapai

Just Nice
This entry was posted in Sembang isu politik sekilas pandang. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s